Informasi Polis Diraja Malaysia - Kes Penipuan

Selasa, 24 Ogos 2010 1 comments



  • KES TIPU MACAU (MENYAMAR PEGAWAI POLIS)


Kes penipuan ini melibatkan ahli sindiket yang menggunakan talian nombor telefon menyerupai talian nombor pejabat polis Bukit Aman (03-22626222) dan akan menghubungi mangsa dengan menyamar sebagai pegawai polis dari Bukit Aman.Saspek memberitahu mangsa bahawa dokumen seperti kad pengenalan mangsa telah digunakan untuk kegiatan haram di luar negara seperti di Hong Kong.Saspek kemudian meminta mangsa menghubungi polis Hong Kong di talian yang diberikan oleh saspek (nombor kebiasaannya mengandungi 13 angka).Kadangkala mangsa diminta menghubungi pegawai Bank Negara Malaysia di nombor telefon 03-26988044.Apabila mangsa menghubungi nombor telefon tersebut,saspek akan memperdaya mangsa dengan menyatakan bahawa mangsa mesti memindahkan kesemua wang dalam akaunnya ke dalam akaun yang diberikan oleh saspek dengan alasan sekiranya mangsa gagal,wang di dalam akaun pengadu akan dibekukan dan dirampas oleh pihak Bank Negara Malaysia.Pengadu akan mengikut segala arahan saspek dengan memindahkan wang di dalam akaunnya ke dalam akaun yang diberikan oleh saspek.Setelah wangnya telah dipindahkan ke dalam akaun saspek,barulah mangsa menyedari dirinya telah ditipu kerana mangsa tidak terlibat dalam aktiviti kegiatan haram.

LANGKAH-LANGKAH PENCEGAHAN;

Orang awam dinasihatkan supaya jangan mudah terpedaya sekiranya menerima panggilan telefon/sms daripada pihak yang menyamar sebagai pegawai polis dari Bukit Aman atau daripada Bank Negara Malaysia.. Orang ramai juga boleh merujuk kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil untuk nasihat lanjut


  • PERUBAHAN TREND KES PENIPUAN SMS


Kes-kes penipuan SMS yang sebelum ini diterima oleh mangsa yang didakwa telah memenangi hadiah wang tunai hasil dari peraduan Power Root, Petronas telah ditukar kepada peraduan Coca Cola. Mangsa kebelakangan ini menerima panggilan telefon terus daripada suspek yang mengatakan bahawa mangsa telah memenangi hadiah wang tunai melalui cabutan bertuah. Dalam trend baru ini, mangsa perlu menjawap beberapa soalan yang akan di ke utarakan. Soalan-soalan yang di tanya adalah amat mudah dan seterusnya suspek akan meminta mangsa untuk memasukkan wang ke dalam suatu akaun yang diberikan bagi tujuan memproses pemindahan wang yang dimenangi oleh mangsa, Kebanyakan mangsa masih terpedaya dengan suspek dimana mangsa akan pergi ke mesin ATM untuk mengaktifkan sistem perbankan internet dan suspek akan memberi tunjuk ajar cara-cara mengaktifkan sistem perbankan internet. Dengan cara ini suspek boleh mempunyai akses kepada akaun mangsa seterusnya wang mangsa dapat dikeluarkan oleh suspek dalam sekelip mata. Mangsa-mangsa juga pernah kehilangan wang dari akaun mereka selepas beberapa bulan kerana suspek masih mempunyai nombor pin serta kata laluan untuk akses ke akaun mangsa.

LANGKAH-LANGKAH PENCEGAHAN;

Orang ramai dinasihatkan agar jangan mudah terpegaruh dengan tawaran tersebut sebaliknya menghubungi pihak-pihak berkenaan untuk memastikan kewujudan peraduan serta tawaran hadiah yang dikatakan atau memaklumkan kepada ahli keluarga atau rakan-rakan sebelum membuat keputusan berhubung dengan suspek. Orang ramai juga boleh merujuk kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil untuk nasihat lanjut.


  • KES PENIPUAN TEPUK BAHU


Suspek bergerak secara berkumpulan selalunya dua atau tiga orang dan dipercayai warganegara asing. Suspek akan tepuk bahu atau menegur mangsa semasa mangsa sedang membuat transaksi di mesin ATM dengan memberitahu bahawa duit mangsa telah jatuh di atas lantai. Apabila mangsa menoleh untuk melihat wang tersebut kesempatan ini digunakan oleh suspek yang seorang lagi. untuk mengambil kad ATM mangsa dan meletakkan satu kad ATM kepunyaan orang lain dan beredar dari sana. Pada hari yang sama wang dari akaun mangsa akan dikeluarkan oleh suspek.

LANGKAH-LANGKAH PENCEGAHAN;

Orang ramai dinasihatkan agar jangan melayan sesiapa semasa membuat transaksi di mesin ATM dan pastikan nombor pin tidak terdedah semasa membuat transaksi.Orang ramai juga boleh merujuk kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil untuk nasihat lanjut.


  • KESELAMATAN NOMBOR PIN ATM


Orang ramai dinasihatkan agar jangan menyimpan nombor pin bersama dengan kad ATM dengan cara melekatkan/menulis nombor pin di atas kad ATM.Ini adalah untuk mencegah dari nombor pin terdedah kepada orang yang menjumpainya jika kad ATM tercicir atau dicuri.Adalah dinasihatkan juga agar nombor pin yang dipilih itu bukannya nombor kad pengenalan atau nombor tarikh lahir.Semasa berada di mesin ATM untuk membuat transaksi orang ramai dinasihatkan agar memasukkan nombor pin dengan cara terlindung agar tidak dapat dilihat oleh orang yang berdiri di barisan sebelah atau yang beratur di belakang



  • SKIM PENIPUAN PELABURAN WANG


Pada kebiasaannya mangsa akan ditawarkan untuk melabur dalam skim yang memberikan pulangan yang lumayan dan jaminan yang tinggi seperti pelaburan emas dan pelaburan berbentuk sijil dividen.Pada mulanya,syarikat-syarikat ini dapat memberi pulangan dalam bentuk dividen kepada pelanggannya tetapi lama-kelamaan tidak mampu untuk membuat pembayaran kepada semua yang terlibat (skim piramid).Syarikat-syarikat ini dikatakan melakukan kesalahan kerana mengambil deposit wang tunai tanpa mempunyai lesen yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia.Contoh-contoh syarikat adalah seperti Bestino dan G Gold Trading.Syarikat-syarikat ini ada yang masih dalam siasatan dan ada yang telah diambil tindakan oleh Bank Negara Malaysia di mana aset-aset syarikat dan akaun-akaun bank dibekukan kerana menjalankan skim pelaburan tanpa lesen.Ini adalah satu kesalahan di bawah sek:25 Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan 1989 (BAFIA 1989).Hukumannya ialah tidak melebihi 10 tahun penjara atau denda tidak melebihi RM10 juta atau kedua-duanya sekali dan bagi kesalahan yang berterusan,dikenakan denda harian tidak melebihi RM100 ribu sehari.
Kesalahan ini juga boleh disiasat di bawah sek: 4(1) Akta Pengubahan Wang Haram/Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001.Hukumannya ialah denda tidak melebihi RM 5 juta atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya.
Pihak polis juga menjalankan siasatan terhadap skim pelaburan yang tidak wujud dan merupakan satu penipuan seperti penternakan ikan air tawar dan projek ternakan ketam di mana biasanya saspek akan menawarkan satu projek atau ternakan dan mangsa diminta supaya memasukkan bayaran ke dalam akaun sebuah syarikat tertentu yang diberi oleh saspek.Setelah wang dimasukkan,mangsa akan tertipu kerana tidak menerima projek atau set ternakan tersebut.Contoh kes yang berlaku di Taiping pada tahun 2009 melibatkan kes tipu melibatkan set ternakan ketam nipah.
Orang ramai diingatkan supaya berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran-tawaran yang tidak munasabah daripada mana-mana syarikat hanya kerana ingin cepat mengejar keuntungan.Adalah dinasihatkan supaya orang ramai membuat semakan atau rujukan dengan pihak Bank Negara Malaysia sebelum melibatkan diri dengan mana-mana skim pelaburan untuk menentukan samada mempunyai lesen yang sah.



  • KES PEMALSUAN CEK


Saspek kebiasaannya akan memecah peti surat dan mencuri surat-surat kemudian akan mengambil surat-surat yang mengandungi cek. Cek tersebut kemudiannya akan diubahsuai nama dan nombor akaun dan kemudian akan dimasukkan ke dalam akaun-akaun bagi kegunaan sendiri.

Bagaimana mengenalpasti / langkah-langkah pencegahan;
- Orang ramai dinasihati agar menggunakan cara penghantaran yang lebih selamat atau
- mendepositkan cek tersebut melalui mesin deposit cek.


  • KES PENIPUAN BOMOH CINA


Saspek adalah warganegara China yang dipercayai memasuki negara ini melalui pas lawatan sosial dan mencari sasaran di kawasan pasar pagi serta padang awam taman-taman perumahan.  Mangsa terdiri dari kalangan warga emas tempatan berbangsa Cina.  Saspek meramal keluarga mangsa akan mengalami malapetaka dan perlu mengadakan sembahyang buang sial.  Kemudian saspek memperdaya mangsa untuk menyerahkan barangan kemas atau wang tunai milik mangsa bagi tujuan tersebut. 

Bagaimana mengenalpasti / langkah-langkah pencegahan:
- Jangan dilayan jika dihampiri.
- Kenal pasti saspek dari rupa, perwatakan yang boleh membantu polis
.
 


  • KES PENIPUAN CABUTAN BERTUAH ( GORES Dan MENANG )


Saspek adalah wakil dari syarikat jualan langsung. Menawarkan hadiah berupa barangan elektrik, kereta dan wang tunai. Memperdaya mangsa menyerahkan barang kemas atau wang tunai sebagai cagaran bagi mendapatkan hadiah yang ditawarkan yang kononnya telah dimenangi oleh mangsa.

Bagaimana mengenalpasti / langkah-langkah:

  • Orang ramai hendaklah berhati-hati dengan jurujual yang datang ke rumah dan menawarkan barangan serta hadiah pada harga yang murah;
  • Apabila mereka datang ke rumah, pastikan semakan dibuat dari segi pengenalan diri, pendaftaran syarikat dan lesen jualan langsung; dan
  • Jika tidak pasti, tanya kepada jiran-jiran anda atau pun rakan-rakan yang berpengetahuan berkaitan hal ini.


  • KES PENIPUAN MAHKAMAH


  • Mangsa menerima panggilan telefon daripada saspek yang akan mendakwa mangsa terlibat dalam sindiket pemberi pinjam wang secara haram (Ah Long) di mana mangsa akan dikenakan tindakan dan proses pendakwaan akan dijalankan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
  • Saspek akan mengarahkan mangsa untuk memindahkan semua wang miliknya ke satu akaun yang diberi saspek agar wang tersebut tidak dibekukan oleh pihak mahkamah.
  • Saspek dipercayai warganegara asing kerana panggilan yang diterima memaparkan kod telefon luar negara, iaitu Hong Kong. Pemilik akaun di mana wang dipindahkan adalah milik rakyat tempatan yang telah dikenalpasti.
  • Bagaimana mengenalpasti / langkah-langkah pencegahan sekiranya menerima panggilan telefon dengan MO di atas, sila abaikan.
 
  • KES PENIPUAN MELALUI E-MAIL


Mangsa akan berkomunikasi dengan saspek secara on-line (chatting) melalui e-mail dan memberitahu mangsa yang saspek sedang berada di luar negara. Kemudian saspek memberitahu akan menghantar barang yang ditempah oleh mangsa melalui kourier tetapi mangsa perlu memasukkan wang ka dalam akaun yang diberi sebagai wang proses penghantaran. Selepas mangsa memasukkan wang seperti yang diminta, barang yang ditunggu-tunggu tidak sampai dan saspek juga gagal dihubungi. Bagaimana Mengenalpasti / Langkah-langkah Pencegahan Orang ramai dinasihatkan agar jangan terpedaya dengan tawaran seperti ini. Jangan masukkan wang ke dalam akaun orang yang tidak dikenali dengan sewenang-wenangnya.


  • KES PENIPUAN PINJAMAN YANG TIDAK WUJUD

Mangsa akan menghubungi nombor telefon yang tertera di atas kad-kad perniagaan yang menawarkan pinjaman secara peribadi. Mangsa kemudian akan diarahkan untuk memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun sebagai wang proses sebelum pinjaman diluluskan. Selepas itu, mangsa akan diberitahu yang pinjaman tidak diluluskan dan wang yang dimasukkan juga tidak dikembalikan serta saspek gagal dihubungi. Bagaimana Mengenalpasti / Langkah-langkah Pencegahan Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran pinjaman tersebut sebaliknya dapatkan pinjaman peribadi secara sah daripada institusi kewangan yang berlesen.


  • KES PENIPUAN SMS


Mangsa akan menerima panggilan telefon daripada saspek mengatakan mangsa telah memenangi hadiah wang tunai melalui peraduan seperti cabutan simkad bertuah anjuran Petronas Malaysia, Maxis, Digi, Celcom, Shell, syarikat pelancongan di Macau atau persatuan dermawan di Hong Kong.  Saspek akan menggunakan nombor telefon luar negara sebanyak 13 hingga 15 angka yang bermula dengan 00628 dan 00853 yang mana panggilan dengan kod 00628 akan menggunakan bahasa Indonesia manakala kod 00852 akan menggunakan bahasa Kantonis dan Mandarin.  Saspek akan memberitahu mangsa telah memenangi hadiah berupa wang tunai dan akan minta mangsa masukkan sejumlah wang ke dalam akaun mangsa sendiri atau akaun lain.  Bagaimana Mengenalpasti / Langkah-langkah Pencegahan Abaikan panggilan sedemikian.


  • KES PENIPUAN TEMPAHAN MELALUI INTERNET


Mangsa akan melayari internet untuk melihat barangan yang disenaraikan seterusnya memasukkan wang ke dalam akaun yang diberi bagi membeli barang tersebut. Selepas wang dimasukkan, mangsa tidak dapat barang yang dibeli dan nombor telefon yang tertera di dalam website juga tidak dapat dihubungi. Bagaimana Mengenalpasti / Langkah-langkah Pencegahan Orang ramai dinasihatkan untuk membuat pembelian secara langsung dengan si penjual bagi mengelakkan perkara sedemikian berlaku.  

  • KES PENIPUAN WARGA ASING MENUKAR WANG

Mangsa kebiasaannya akan didatangi oleh satu lelaki atau sepasang lelaki dan perempuan warga asing yang dipercayai warga Timur Tengah yang ingin menukar wang kertas RM 100.00 kepada nilai yang kecil. Apabila wang telah ditukarkan, saspek akan memberitahu mangsa yang dia memerlukan wang kertas yang mempunyai tandatangan YDP Agong atau pun tandatangan Gabenor di bahagian tepi wang kertas tersebut.
Saspek akan membantu mangsa mencari wang yang dikehendaki tetapi tanpa mangsa sedari, saspek dengan pantas akan mengambil wang tanpa pengetahuan mangsa dan terus beredar. Mangsa berasakan dirinya seperti telah dipukau dan tidak sedarkan diri. Bagaimana Mengenalpasti / Langkah-langkah Pencegahan Orang ramai dinasihati supaya tidak melayan mereka ini (saspek). 

 

  • KES PENIPUAN WANG PALSU

Mangsa menerima wang palsu semasa transaksi perniagaan dan seringkali mangsa adalah pihak bank di mana wang akan digunakan oleh pelanggan untuk menjelaskan hutang bank. Wang-wang kertas yang seringkali digunakan adalah wang kertas RM 50.00 dan RM 100.00. Ciri-ciri wang palsu :-

1) Jalur benang keselamatan di bahagian belakang adalah lurus manakala wang tulen putus-putus.
2) Warna pada nombor '5' di 'Hologram Stripe' berbeza dengan warna pada nombor '0'.
3) Warna kertas agak kekuningan.
4) Huruf 'BNM' dan 'RM 50' pada 'Hologram Stripe' jelas kelihatan.
5) 'Hologram Stripe' kurang bercahaya dan agak pudar.
6) Jalur benang keselamatan tidak jelas di bahagian hadapan.
Bagaimana Mengenalpasti / Langkah-langkah Pencegahan Teliti dengan betul setiap wang kertas terutamanya wang kertas RM 50.00 semasa membuat urusan.


  • KES PENYAMARAN SEBAGAI VIP

Mangsa akan mendapat panggilan telefon daripada saspek yang mengaku dirinya sebagai Pengarah sesebuah jabatan / syarikat atau Pengetua sesebuah sekolah yang mangsa sendiri kenali. Tujuan panggilan dibuat adalah untuk meminta bantuan kewangan akibat beberapa masalah yang timbul yang tidak dapat diselesaikan dan dielakkan. Wang tersebut akan diminta dimasukkan ke dalam akaun yang diberi oleh saspek. Selepas wang yang diminta dimasukkan, mangsa dapati Pengarah atau Pengetua yang sebenarnya tidak menghubungi mangsa bagi mendapatkan bantuan tersebut. 
Bagaimana Mengenalpasti / Langkah-langkah Pencegahan Orang ramai dinasihatkan agar tidak mengendahkan panggilan telefon daripada orang yang tidak dikenali sebaliknya pastikan dengan menghubungi sendiri individu yang memerlukan bantuan tersebut sebelum memasukkan wang ke dalam akaun seperti yang diminta oleh saspek.
Comments
1 Comments

1 comments:

  • Tanpa Nama berkata...

    Sini saya kenali seorang perempuan dari internet, katanya hutang kawan dia RM2000, dan saya disuruh bank in RM2000 itu ke dalam account kawannya. Selepas itu, perempuan itu terus tidak lagi online, Bank in slip itu masih ada pada tangan saya. Kalau saya pergi buat laporan polis, boleh kah saya tau apakan tindakan polis.. dan dapat kah saya dapat balik duit itu

Catat Ulasan

Share

Followers

 

©Copyright 2011 Galeri PDRM | TNB