SEJARAH PERKEP
Inspirasi penubuhan Persatuan Keluarga Polis atau nama ringkasnya PERKEP lahir atas dasar inginkan kaum wanita maju dan meraih apa yang tertinggal selama ini, dengan keahlian lebih kurang 80,000 orang di seluruh Malaysia, persatuan ini terus berdiri tegap dan mantap sehingga ke hari ini.
Menyingkap kepada sejarah penubuhannya di mana persatuan yang pada asalnya dikenali sebagai ‘Perkumpulan Kaum Ibu Polis’ (Women Police Institute) buat pertama kalinya telah mengadakan mesyuarat pada 26 julai 1967 yang dipengerusi oleh Y.Bhg. Tan Sri Hj. Hussain B. Hj. Mohd. Sidek, Timbalan Ketua Polis Negara ketika itu. Hasil dari itu satu Perintah Pasukan dikeluarkan pada 20 Oktober 1967 (Force Order 447/67) memaklumkan pada semua Ibu Pejabat Kontinjen dan Ibu Pejabat Daerah berkenaan dengan penubuhan persatuan wanita ini di Ibu Pejabat Polis DiRaja Malaysia, Kuala Lumpur dan menyatakan juga undang-undang berkenaan penubuhannya.
Ekoran dari itu pada 3 Ogos 1968 satu lagi mesyuarat diadakan dipengerusikan oleh Y.Bhg. Puan Sri Hajah Saodah isteri kepada Y.Bhg. Tan Sri Mohd. Salleh B. Ismail, Ketua Polis Negara ketika itu bertempat di Bilik Gerakan lama Ibu Pejabat Polis Jalan Bluff, Kuala Lumpur. Turut hadir sama adalah isteri-isteri Ketua Polis Negeri dan isteri-isteri PJP Sabah dan Sarawak. Di dalam mesyuarat tersebut satu kata sepakat telah dicapai iaitu memberi nama baru bagi persatuan.
Bermula dari sinilah Persatuan Keluarga Polis atau singkatannya PERKEP mendapat nama. Natijah dari itu PERKEP didaftarkan pada 10 jun 1969 (Bil. R.S.M. 779/68(6) PPP/SEL. 197/68) dengan diterajui oleh Pengerusi-Pengerusinya yang berkaliber yang menjadi asas kejayaan dan pencapaian yang membanggakan hingga ke hari ini.
UNTUK KETERANGAN LANJUT KLIK DISINI !!!