TAHUKAH ANDA !!! SEJARAH PASUKAN POLIS NEGERI PERAK

Jumaat, 24 Disember 2010 0 comments

Pasukan Polis Perak bermula sejak akhir abad ke 10. Kemangkatan Sultan Ali telah menimbulkan keadaan kucar kacir di Negeri Perak kerana berlakunya perebutan takhta. Ketegangan juga berlaku akibat insiden yang dicetuskan oleh imigran-imigran yang semakin ramai. Untuk mengatasinya Menteri Larut telah menubuhkan Pasukan Polis yang dianggotai oleh 40 orang Melayu tetapi tidak dapat mengawal kekacauan yang dicetuskan oleh ahli kongsi gelap Cina. Kapten Tristram Speedy, kemudiannya membantu Menteri Larut membentuk Pasukan Polis yang lebih mantap pada akhir tahun 1873. Seramai 110 anggota Polis Punjabi dan Pathan dari di India beserta senjata api 'Krupp Guns'. Gabenor Sir Andrew Clerk yang mengambil keputusan untuk campur tangan Inggeris di Perak telah mengadakan Perjanjian Pangkor dalam bulan Januari 1874.

Residen Perak yang pertama ialah J.W.W Birch dan Kapten Tristram Speedy dilantik sebagai Penolong Residen. Pasukan Polis diperbesarkan menjadi 160 anggota termasuk beberapa orang Melayu dan Cina. Pasukan ini ditempatkan berhampiran Taiping. Campur tangan Inggeris di Perak menerima tentangan hebat pribumi tempatan. J. W. W. Birch telah dibunuh pada 2 November 1875. Pembunuhan J. W. W. Birch menyebabkan campur tangan secara langsung Inggeris dan dapat memperkukuhkan kedudukan Pasukan Polis.

Paul Swinburne telah dilantik sebagai Pesuruhjaya Pasukan Polis Perak yang pertama pada Disember 1876. Anggota Polis yang direkrut oleh Kapten Tristram Speedy diserap ke pasukan ini dengan tambahan beberapa anggota Polis Melayu dari Negeri-negeri Selat. Pasukan ini dikenali dengan nama 'Polis Bersenjata Perak' (Perak Armed Police). Sejak itu usaha untuk mewujudkan sebuah pasukan yang bersistematik telah bermula di mana Kompleks Balai Baru dibina di Tanjung Piandang, Kuala Larut dan Durian Sebatang. Pakaian seragam baru juga diperolehi dari England.

Keseimbangan kecekapan polis di bawah kepimpinan Paul Swinburne diteruskan oleh Kapten R.S.F. Walker dalam tahun 1882. Kapten Walker membentuk Pasukan Berkuda atau 'Mounted Battery‘ di bawah pimpinan Inspektor James Ma Keon. Satu prosedur penyiasatan yang bersistematik telah disusun oleh Walker dan Pasukan Polis terus berkembang.

Penglibatan Kapten Tristram Speedy dan seterusnya rakan Inggeris lain tidak dapat sepenuhnya mengubah sikap Masyarakat Melayu yang memandang negatif terhadap Pasukan Polis. Perlantikan Yang Teramat Mulia Raja Alang Iskandar sebagai Penolong PesuruhJaya Melayu pertama pada 1 Ogos 1905 turut mengubah pandangan orang-orang Melayu ketika itu. Yang Teramat Mulia Raja Alang Iskandar merupakan seorang Putera yang bersemangat dan mempunyai tingkah laku yang menyenangkan. Atas daya usaha dan kegigihan Baginda, pandangan negatif orang-orang Melayu terhadap Polis dapat dikikis dan Baginda telah dapat menarik pertambahan penglibatan orang Melayu. Bermula dari era tersebut Pasukan Polis Perak terus berkembang sehinggalah kemudiannya bersatu dengan Pasukan Polis Negeri-negeri Melayu Bersekutu.
Comments
0 Comments

0 comments:

Catat Ulasan

Share

Followers

 

©Copyright 2011 Galeri PDRM | TNB